Hutang dan Ketidak Adilan.
Credit: Nizami A K
Saya meminati topik kewangan bukan sahaja kerana tarikan kepada nilai wang itu sendiri tetapi kerana betapa saya merasakan kewangan itu satu sistem yang tidak adil.
Sebelum kita mengeluarkan apa2 persepsi, mari kita sama memahami satu kisah yang saya ingin ceritakan.
Kami 4 beradik dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Ayah saya ada prinsip tegas dalam hidup, salah satunya ialah beliau tidak berhutang. Semua benda seperti motor, rumah, perabot dan perkakas dapur dibeli tunai. Beliau mengumpul duit gaji sedikit demi sedikit agar dapat membeli sesuatu keperluan.
Sebagai contoh, ibu kami memasak guna dapur arang sebelum ayah mampu membeli dapur gas. Rumah pun ayah bina sendiri sedikit demi sedikit setiap petang selepas balik kerja dan hari minggu. Jadi, pada satu2 masa, memang ayah ada simpanan duit untuk dikumpul mencukupkan satu2 keperluan.
Semasa kami masih kecil dalam umur antara 3 hingga 7 tahun, abang kepada ayah ada meminjam sebanyak RM1000. Pada masa itu kami tidak tahu mengenainya. Sudah saya umur 14 tahun, ayah sudah tidak disambung kontrak kerja beliau. Jadi kami dapat merasakan sedikit tekanan dalam pengurusan belanja rumah. Mak pula mula mengambil upah menjahit baju dan menjual kuih.
Apabila adik kami yang ke 4 tadi masuk sekolah menengah, belanja makin tinggi dan keluarga kami sudah bertambah lagi 2 orang. Adik saya meminta untuk membeli uniform untuk ko kurikulum. Ayah saya meminta saya ke rumah pakcik saya tadi untuk meminta bantuan kewangan atas alasan hutang masih belum dibayar. Saya berbasikal dalam 3 kilometer untuk ke rumahnya. Setiap kali ada keperluan mendesak, kami akan ke rumahnya untuk meminta duit tersebut kerana setiap kali diminta bayaran balik yang dapat antara RM100 ke RM150. Ada ketikanya kami balik dengan tangan kosong kerana pakcik tiada di rumah.
Dipendekkan cerita, sehingga saya masuk universiti bayaran masih berbaki. Sesudah adik saya yang bongsu masuk sekolah menengah, bayaran masih berbaki RM200. Pakcik saya meninggal dunia beberapa tahun kemudian tanpa berjaya melangsaikannya. Saya tidak pasti samada ayah saya sudah menghalalkannya atau tidak.
Tempoh bayaran RM800 itu mengambil masa 20 tahun dan baki lagi RM200 itu tidak selesai pun dalam masa 3 ke 4 tahun berikutnya. Saya amati kisah ini dan saya tertanya, adakah adil apa yang berlaku?
Saya rasakan ianya tidak adil. Sudahlah nak menagih hutang umpama kita mengemis, kena datang mencari dan meminta. Tebal rasa muka walaupun meminta duit ayah kita sendiri. Dari sini saya belajar konsep kewangan berkaitan dengan riba, debu riba dan sebagainya.
Amat tidak adil pinjaman berlaku atas asas matawang sedangkan matawang itu tidak jelas nilainya. Tetapi saya tak dapat suarakan apa yang saya fikirkan kerana semua orang percaya bahawa meminjam RM1000 mesti dibayar RM1000. Itu pandangan umum yang bertentangan dengan pandangan saya.
Saya lihat sistem perbankan konvensional sudah ada alternatif dengan perbankan Islam. Satu pembaharuan yang pada saya datang selari dengan kefahaman masyarakat berkenaan konsep kewangan Islam. Namun, bagi saya ada satu lagi masalah besar yang wujud. Berbagai istilah Islamik muncul seperti mudarabah dan sebagainya. Istilah ini muncul dari kajian sarjana2 perbankan Islam untuk mengIslamkan sistem perbankan itu.
Konsep memutihkan yang hitam itu bukanlah tidak baik sepenuhnya. Namun semuanya masih lagi berkisar kepada urusan matawang yang pada saya nilainya tidak jelas dan sentiasa berubah. Satu aspek penting telah ditinggalkan secara sengaja atau tidak oleh sarjana2 ini.
Aspek matawang(wang kertas) itu bukan duit sudah hilang dari minda masyarakat amnya. Sesuatu bentuk wang mesti memenuhi beberapa kriteria sebelum boleh diakui sebagai duit. Jika kriteria seperti wang itu jelas rupa dan bentuknya, boleh dipecah atau dikecilkan, diterima-pakai, standard, kekal nilai, lasak dan tidak boleh direka barulah ianya layak diakui.
Dalam pemerhatian saya, hanya 2 benda sahaja yang memenuhi semua kriteria di atas. Hanya emas dan perak yang layak diakui sebagai duit. Jika kita perhatikan, betapa jauhnya kita dari sistem ini pada hari ini sehinggakan kita langsung tidak sedar bahawa duit kertas yang kita pegang itu susut nilainya pada masa depan. Kita menganggap nilainya tetap.
Kita lupa atau sengaja dijauhkan daripada kenyataan bahawa emas dan perak disebut sebagai wang di dalam kitab. Kita dihanyutkan dari nilai sebenar dan kita dipenjara dalam sistem matawang yang sebenarnya meragut kuasa beli yang sepatutnya kita ada.
Sebagai garapan minda, saya akhiri coretan saya dengan ayat berikut;
1400 tahun dahulu, 1 dinar atau 1 mitsqal atau 1/7 auns troy emas boleh membeli seekor kambing hidup. Sekarang, 1 dinar yang sama masih mampu membeli seekor kambing hidup malah lebih dari seekor kerana kemajuan teknologi pertanian. Renung-renungkan.
Wassalam.
boleh Share tanpa was was
Credit : Nizami AK
Comments
Post a Comment