Interest belum tentu Riba, Riba dah tentu Interest.


Bunyinya macam sesat kan? Ya, sesat jika kita hanya belajar tentang Riba tetapi tidak sedar takrifan riba moden itu sendiri dah diseleweng. Takrifan umum ialah "tiada riba jika pinjam RM800 bayar RM800".
Sebelum kita nak mula kecam mengecam, mengharam jadahkan, mengkafirkan tajuk artikel ini, mari hayati kisah di bawah.
Ahmad dan Bakar dua sahabat baik yang sama² setuju untuk menjauhkan diri dari riba. Satu ketika, Ahmad berada dalam kesusahan dalam bentuk kewangan. Ahmad berjumpa dengan Bakar untuk meminjam sedikit wang.
Ahmad berhajat meminjam RM1000 daripada Bakar dan berjanji untuk membayar dalam masa 6 bulan. Bakar bersetuju.
Sebelum menyerahkan wang tersebut, Bakar menyatakan akad meminjamkan Ahmad sebanyak 6 gram emas setara nilai RM1000 pada masa itu. Ahmad mengkabulkan akad menerima pinjaman 6 gram emas dalam bentuk matawang RM1000. Kawan mereka Kamal turut hadir menjadi saksi dan menjadi pencatat tanpa upah.
Setiap bulan Ahmad berusaha membayar 1 gram emas dalam bentuk nilai matawang semasa kepada Bakar agar perjanjian 6 bulan dapat dipenuhi. Setiap kali bayaran dibuat, Kamal akan catatkan transaksi yang berlaku.
Apabila bulan pertama bayaran berlaku, Kamal catatkan nilai matawang yang dibayar dan berat setara emas yang terlibat. Proses yang sama diulang untuk bulan² yang berikutnya.
Pada hari terakhir bayaran, Ahmad dapat membayar secukupnya 6 gram emas dalam bentuk matawang. Kamal selaku saksi mencatat dan menjumlahkan nilai setara matawang dan berat emas yang terlibat. Selepas kiraan dibuat, didapati Ahmad telah membayar sebanyak 6 gram emas dengan nilai setara matawang sebanyak RM1200.
Baik. Transaksi ini diselesaikan di sini. 6 gram dibayar 6 gram. Kamal pun tutup buku nota, semua pulang ke rumah masing² dengan tenang.
==========================
Tetapi, kepada yang memerhati, transaksi ini boleh diperincikan lagi;
Kita dapat lihat hutang RM1000 telah dibayar RM1200, interest yang terlibat ialah RM200, tetapi berat emas 6 gram tetap dibayar 6 gram. Di sini kita juga dapat lihat interest tetap wujud walau transaksi sama nilai telah berlaku.
Hal ini berlaku kerana matawang itu yang tidak tetap nilai, bukan kerana berat emas yang berubah.
Kita disuap dengan ilmu Riba berasaskan matawang, sedangkan matawang tu tidak jelas nilainya.
Fikir²kanlah..semoga diberi ilham.

Saya akhiri coretan saya dengan hadis debu riba;
“Sungguh akan datang pada manusia suatu masa (ketika) tiada seorang pun di antara mereka yang tidak akan memakan (harta) riba. Siapa saja yang (berusaha) tidak memakannya, maka ia tetap akan terkena debu (riba)nya.”
(HR Ibnu Majah, HR Sunan Abu Dawud, HR Al-Nasa’i dari Abu Hurairah)

* untuk lebih pemahaman, boleh baca artikel saya bertajuk "Hutang dan Ketidak Adilan."

Kredit : Nizami AK

Comments